Mr.Teksi 2

• Gee Lion • 08:30:00 • 63 Sembang
Jumaat, HWC 4*25
Color Oren : Mr.Taxi
Color Green : Aku

Adik tahu ka semalam itu ada kes bom kat Bukit Bintang?

Err.. yeke? Tak tahu pulak. Biar betul?

Aiyo madam, where are you come from? London? Iran?

Aku tersenyum sipu. Malu pula rasa kerana tak ambil tahu perkembangan semasa. Manakan tidak, semalam sebaik saja sampai rumah aku tidak lagi menge'on' line. Terus saja aku uruskan hal seharianku dan masuk tidur.

You masuk itu internet, google. Takkanlah facebook pun you takda? Aiyo ini orang, negara sendiri pun tadak tau..

Sekali lagi, aku tersenyum. Lantas, aku membuka perisian internet menggunakan telefon Samsengku yang bila-bila masa saja bakal menamatkan riwayatnya lantaran kegagalan dicas sebelum keluar rumah.

Eh, a'ah lah. Tak sangkanya benda macam ni boleh berlaku di KL.

Kan? Negara ini sudah tidak aman. Sekejap masa saja lagi, apa pula bakal berlaku..

Macam kat Thailand pula main bom-bom macam ini.

Adik, itu Thailand lain cerita. Mereka bergaduh kerana sana Buddhist tidak suka sama Muslim. Mereka berperang kerana agama. Kat sini?

Macam itu perang di Sri Lanka
(beliau pun bercerita kepada saya mengenai perbalahan antara tentera Islam Sri Lanka & tentera Tamil), kenapa bila sudah merdeka masih berperang? Dulu kata lain lepas tu jadi lain.

Tapi sini ada ka itu macam?

Ada adik tengok Cina tak suka Melayu terus pergi serang macam tu? India tak suka Cina terus perang macam tu? Ada?

Adik tahu tak apa punca kejadian macam ini?

Itu semua punca orang luar punya pasal.

Mereka datang sini fikir pasal duit saja.
Mereka tak peduli tentang hal negara kita mahu aman atau tidak.
Orang mana you tahu selalu buat hal?
Orang **a*
Memang selalu orang **a* banyak bawa masalah.
Samalah macam kalau kita ni sangkut jem, mereka sikit punya gangster boleh redah macam tu je.

Itu kerajaan haa.. banyak pelik. Kenapa perlu bagi PR pada orang luar ni? Adik fikir, masa kita nak merdeka dulu ada mereka itu datang sekali perang sama kita? Itu Tun Rahman, Tun Sambathan pergi sana itu British minta merdeka. Untuk tiga bangsa saja. Ada untuk mereka? Ada? Mereka ada bersamakah waktu merdeka itu? Ada? Sekarang mahu senang-senang saja mau kasi itu PR.

Maaf cakaplah adik, itu orang duduk atas banyak jual kita punya maruah.
Orang yang pegang kerajaan itu, maaflah saya cakap macam ini, itu ramai orang Melayu juga duduk.
Sebab apa?
Itu duit punya pasal.
Berapa banyak itu harta mereka punya saja?

Sekarang umur saya 38 tahun, umur adik berapa?
Nanti adik dah sampai umur macam saya, adik yang kena tadah tangan kat mereka.

Lagi mahu cakap pasal aman.


Sebelum aku membuka pintu teksi dan melangkah keluar, aku sempat mengatakan sesuatu pada encik teksi tersebut.

Bukan semua orang setuju dengan cara kerajaan.


Selalu kan.. Selalu sangat bila kita sentuh mengenai isu kerajaan & kepimpinan ni, orang akan marah kita. Herdik kita. Orang kata kita tak bersyukur. Orang kata kita tak ikhlas. Sedar tak sedar, itulah puncanya mengapa Tanah Melayu selama lebih beratus tahun hidup terjajah di bawah kongkongan British. Kita selesa. Kita bahagia. Kita ketepikan mereka yang berjuang untuk agama & negara. Kita buang mereka yang betul-betul peduli tentang kesenangan bangsa.

Kalian boleh fikir apa saja, tapi pada aku adalah teramat bodoh apabila pemimpin dan raja menaiki kereta mewah, berpangkat-pangkat, beristana indah nian tapi ada rakyatnya terpaksa mengira-ngira duit dalam dompet untuk kelangsungan hidup. Lagi, ada pula rakyat yang terperosok jauh bawah jambatan hanya demi mencari sebuah tempat perlindungan.

Paling sadis, bila rakyat dituduh merekalah punca nasib mereka jadi sedemikian rupa.

Mengapa perlu dipertahankan mereka yang menyebabkan maruah Islam dan Melayu dipandang rendah oleh bangsa lain?

Semaklah dan bacalah kepimpinan Islamiyah, di situ anda akan jumpa jawapannya.

Entri sebelumnya : Mr.Teksi 1

Wordless Wednesday # 9

• Gee Lion • 12:32:00 • 32 Sembang

Apa yang korang fikir bila tengok gambar di atas?
p/s : bukan tangan aku

Lilin

• Gee Lion • 21:30:00 • 49 Sembang
Bagai kelip-kelip yang terbang malam, apa saja bicara masih tersimpan rapi dalam hatinya. Kadang-kala rasa ingin diluahkan semuanya, namun dia tidak mahu menjadi manusia terlanjur. Biarlah api itu terus terpadam dari berterusan galak membakar sekam.

Dia sebolehnya mahu mengelak dan dijauhkan dari ribut yang bisa membuat pohon tumbang dan reranting menari dek angin yang kencang. Jika itu terjadi, maka pasti ingin berdepan pun dia sudah rasa tidak sanggup lagi. Biarlah apa yang ada dipatah; nanti jika ditunggu menjadi buluh, bisa melepuh sekalian jari.


Dia arif benar, kadang-kadang orang tak sedar peri pentingnya lilin yang menerangi gelap malam. Kuatnya lilin meski dibakar api masih mampu menerangi orang lain. Lemahnya pula meski menerangi orang lain dia pula terkorban dengan sendirinya.

Iya, mereka masih memandang pada dirinya yang tiba-tiba menyisih di balik jendela. Dia cuma mahu ingin lebih berjaga-jaga, kadang deras itu datang pasti dalamnya akan terkena jua.

Kiriman

• Gee Lion • 14:00:00 • 58 Sembang
Membaca kiriman whatsapp dari adik aku malam tadi, benar-benar menganggu fikiran aku. Masih terbayang-bayang apa yang dia tulis. Lanjutan kisah bersalinnya, kepada kisah kakakku yang mungkin diduakan sehingga kepada masalah tempat kerja aku.

Persoalan dia, "Mungkinkah ini kifarah buat kita adik-beradik?"

Sampai sekarang aku tak balas whatsapp dia.
Aku masih mencari jawapan yang sesuai, boleh juga dibaca sebagai alasan.


Sebab aku tahu, jauh di sudut hati aku ini aku mengeyakannya.

Dunia ni kadang-kadang aneh putarannya.
Yang melukakan hidup bahagia.
Yang terluka hidup merana..

Pesanan

• Gee Lion • 20:56:00 • 55 Sembang

Saya faham ada antara blog yang ingin menjadi carian utama especially bila melibatkan isu-isu semasa dengan menggunakan SEO dan search engine [walaupun saya tak berapa expert bagaimana ia berfungsi]. Tapi apa yang menyedihkan ialah kadang-kala cara yang digunakan adalah salah. Ingat, matlamat tidak menghalalkan cara.

Saya bagi satu contohlah yang agak ketara kebelakangan ini :-

Kes gambar dan video yang melibatkan orang terkenal.

Kita kata itu fitnah. Kita kata itu tidak betul. Tapi kenapa mesti nak disebarkan gambar itu dalam blog kita? Kenapa mesti letakkan video itu dalam blog kita? Kenapa mesti beri pautan (link) dalam blog kita? Setiap yang kita tulis dan sebarkan itu, Allah nampak. Allah catit semuanya.


Saya suka membaca entri yang ditulis oleh Budak. Penuh bermakna apatah lagi pada saat-saat genting sebegini. Menganiayai orang itu dah satu hal, menganiayai ulamak? Astagfirullahaladzim.. Semoga Allah memberi perlindungan kepada kamu. Jangan lupa, fitnah yang berleluasa juga disebut-sebut antara salah satu petanda datangnya hari kiamat.

Sama-samalah kita menutup aib orang lain supaya satu hari nanti aib kita pula tak dibuka. Janganlah kita menjadi antara penyumbang tersebarnya fitnah tak kiralah perkara tersebut betul atau tidak. Sedihnya perkara ini boleh berlaku dalam kalangan majoriti rakyat Malaysia adalah Islam, sepatutnya arif tentang hukum-hukum sebegini.

Entri ni straight forward sebab dah tak mampu nak cakap apa.. Speechless dengan sikap sesetengah blogger. Kalau nak tegur satu-satu entri memang tak tertegurlah sebab banyak. Siapa yang dapat membaca ini, jadikanlah sebagai peringatan. Sekurang-kurangnya kita saling ingat-mengingatkan.


nota kaki : credit gambar to Hikayat Seorang Budak, Aini Zakaria dan facebook Darul Murtadza.

Bunga

• Gee Lion • 15:19:00 • 32 Sembang
Pagiku adalah bunga seri pagi
Berkembang wangi menguntum hati
Pesonaku singgah adalah cebisan diri yang suci
Kuntumanku menadah sang embun kelaparan
Dibiar dipetik mengindah jambangan

Petangku semalu yang menguncup sayu
Sakit mencucuk ibarat sembilu
Duri di kaki tiada bererti
Begitu rendah duduknya diri
Bisa dituntas dibuang sekali



Senjaku adalah mawar yang kelesuan
Baunya harum menusuk kalbu
Meski duriku memagari indah nian
Ingin dicapai sukar dipegang
Ditusuk sang gunting, layu berguguran..

Dan malamku, kemboja di wangian pusara
Berkembang wangi menemani nurani
Pesonaku adalah cebisan hati yang suci
Kuntumanku menadah ihsan sang Pencipta
Bermukim sepi untuk mengabadikan diri kepadaNya..

Segmen Blogger Cergas & Santai

• Gee Lion • 11:00:00 • 49 Sembang


The Terms :
  • Copy banner di atas dan link kan terus ke entry beliau, tajuk entry Segmen Blogger Cergas dan Santai.
  • Jawab TIGA soalan kat bawah ni dengan santai sangat (Option : Nak jawab pun boleh, tak nak jawab pun okay. Entry kosong pun boleh, asalkan korang join buat entri and link kan terus ke blog beliau. Mudah kan?)
  • Tinggalkan link entry anda di ruang kotak komen beliau. Nanti beliau akan listkan dalam satu entry..

Masa blogwalking malam tadi, aku tertarik nak join satu segmen yang dianjurkan oleh cik Izzati Amira. Simple dan kiut miut je segmen dia. Selalu entri aku rasa macam berat sangat nak hadam. Nah, hadiah untuk meringankan kepala pula ye.

Jom start sesi interrogation. Dibikin khas oleh cik Izzati Amira.


Currently , lagu/movie/buku/novel apakah yang menjadi kegemaran korang? Citer lah sikit kenapa you suka benda alah tu.

Movie? Tak berapa nak layan. Buku? Dah lama tak beli buku baru. Novel? Samalah status macam buku. So tinggal lagu saja..

Lagu yang aku paling suka dengar sekarang ialah lagu Gegaran Cinta nyanyian DJ Nazz ft Wanie. Aku paling suka part lirik di bawah ni..

Mengapa cinta ada dugaanNya
Dalam hidupku yang ingin bahagia
Keindahan itu hanya seketika
Lara di jiwa akhir yang ku rasa

Dengarlah cinta ku ingin bahagia
Hilanglah duka hapuskan derita
Damailah hidup tenanglah jiwa
Dalam melayari indah cinta bersama

Erk, siapa yang faham tu diam-diam sudahlah ye. Mwehehehe..

Suggestkan SATU link blog yang kamu suka/selalu lawati. Kenapa?

Kenapa satu je? Kenapa tak banyak-banyak? Alah..

Btw, sebab aku memang suka langgar rules bila join segmen-segmen ni, maka berbekalkan genetik dan sifat biologi yang memang tak dapat diubah, maka segmen kali ni pun aku terasa macam nak break the rules babeh. Tapi sebab aku ni taklah kejam, bahkan sangat baik hati dan romantik, maka di bawah ni, aku senaraikan dua blog yang aku rasakan bebas dari unsur-unsur rasuah dan penuh dengan kata-kata yang sukar tuk dihadam macam blog aku juga.

Perdu Cinta
Wan

Silalah bom blog mereka dengan penuh kasih dan sayang.

Dalam banyak-banyak entry yang pernah korang post, pilih entry yang korang rasa "Inilah entry yang memang aku nak setiap orang baca!!!" Share kan link post tersebut. Entry yang berunsurkan pengajaran/tips sangat digalakkan.

Dalam blog ini, rasanya takde entri yang berunsurkan pengajaran dan tips. Banyak-banyak aku mengomel, aku pun tak tahu pasal apa. Siap ada yang cakap tak faham lagi dengan apa aku tulis. Jadi aku start wondering, where did I get it wrong? [read:pura-pura tak tahu].

Jadi aku rasa.. aku nak pilih INI.

Trivia : Takde yang istimewa pun tentangnya, siapa yang rajin beli komik kat myNewsPlus atau kat mana-mana kedai buku mesti dapat agak, dari mana aku dapat inspirasi hasilkan entri ini. Aku bagi hint lah.. Tajuk buku tu pun ada perkataan Kejora..

Cerita yang kedua ialah Dandelion. Hah, kenapa dua? Sukati akulah..

Trivia : Cerita ini adalah intipati utama blog Diari Dandelion.. Heee..

Sebenarnya, korang boleh tahu mana satu entri pilihan aku kalau korang rajin bukak ini.



Sekian, harap anda semua terhibur.
Tunggu jawapan dari korang pulak kalau ada sesiapa yang sudi nak join.
Adios homeza. Ya ee maka ci na wakasalu ot deh!


Kesempatan

• Gee Lion • 20:57:00 • 15 Sembang
Dia tidak tahu apakah titik kata itu nilai yang tepat untuk dikerjakan. Andai waktu bisa ditukar dengan wang ringgit, ya dia sanggup membelinya. Namun dia sedar dia tidak punya wang hatta harta justeru bagaimana ingin membeli andai pusaka pun tidak mampu dia berikan.

Apa yang dia mahu hanyalah masa untuk melepaskan keluh dan kesah. Pertunjukan yang tidak dijangka ini menyebabkan dirinya lemah. Tuturnya hilang dalam riuh orang berbicara tentang satu permintaan demi permintaan yang tidak dapat lagi ditunaikan.


Kalaulah dia diberi kolong, walau ke laut api pun dia sanggup tolong. Semua andalan yang dibagi sebelum ini menemui kebuntuan di tengah jalan, mendesak dirinya untuk senantiasa beradu dalam kawalan.

Si tua itu masih belum tahu bahawa dia bakal berbuat sesuatu tanpa restu. Dia enggan lagi berpaling, hanya itu sajalah satu kesempatan untuk mengecualikan diri walau caranya begitu radikal sekali. Dia mungkin sengaja atau culas peka; bahawa kini masa depannya telah diperjudi dan bisa terhenti, tanpa dia sendiri sedari.

Masa telah tiba

• Gee Lion • 14:00:00 • 36 Sembang
Hari ni last saya update. Mulai esok dan mungkin seminggu yang seterusnya, saya takkan berpeluang untuk update atau membalas mana-mana kunjungan.

Ingat tak +Kakcik Nur  kita ada cakap yang kita pun selalu juga pergi PUSRAWI tuh. Now, its the time. Doakan yang terbaik untuk saya ye.




Sebelum saya pergi ayat takleh blah, saya berbesar hati ingin mengucapkan selamat datang kepada blogger yang baru dan aktif meninggalkan jejak di blog saya dalam tempoh sebulan lepas.. Terima kasih! Arigato kuzaimas!! Harap-harap tak terserdaklah korang makan tengok muka korang saya curik dan taruk kat sini.





Comel habaq hang

Tak mampu nak catit semua.. ~.~'
Sorry ye mana yang saya tak letak nama di atas.
Jangan sedih-sedih, ESOK MASIH ADA.. Hehehe..

Harap dapat jumpa korang semula.
Doakan yang terbaik untuk saya ye.
Assalamualaikum..

BGB : Quotes of the week

• Gee Lion • 04:02:00 • 28 Sembang




Salam Hari Sabtu!

Sesuatu

• Gee Lion • 14:26:00 • 36 Sembang
Bila sudah mengetahui mengenai suatu cerita hamba Allah ini, aku teringat akan permulaan kepada suatu insiden ini dahulu. Insiden yang mengubah langsung pandangan aku mengenai apa yang kita lakukan dan ingini dalam kehidupan ini.

Lelaki dan perempuan itu, adalah kompleks. Semua orang merasakan perhubungan itu mudah, mereka senang membicarakan suatu hal yang terperinci, berkongsi suka dan duka bersama, tanpa mengenal sedikit pun batas halangan.

Itu silap.

Lelaki dan perempuan, di tengahnya ada sesuatu. Sesuatu yang sentiasa menunggu. Sesuatu itu bukan perkara yg baik. Rasanya semua orang pon tahu, apa itu sesuatu tersebut.

Lelaki dan perempuan, perasaan yang terzahir antara keduanya adalah perasaan yang indah. Namun, bisa saja perasaan terindah itu meracuni pemikiran keduanya. Tanpa mengenal iman dan jati diri, bila lelaki dan perempuan bersama, maka akan berlaku sesuatu di luar dugaan siapapun antara mereka.

Rasanya, tidak ada seorang manusia pun akan mengaku imannya kuat, dirinya seperti kapal besi, besar dan pejal menahan dugaan. Namun tak ramai juga manusia akan mengaku bahawa dirinya sengaja melakukan kesilapan. Pastinya akan kedengaran, "aku tak menyedari, antara penat dan tidak, antara rela dan tak rela, antara sedar dan tak sedar.."

Maka, jadinya, kiranya, jika anda sedar bahawa iman anda cumalah senipis kulit bawang, jangan cuba-cuba pergi jauh dalam hubungan antara lelaki dan perempuan. Kerana, apabila lelaki dan perempuan itu bersama..

Ada sesuatu di antaranya..

Filem : Left Behind

• Gee Lion • 08:30:00 • 24 Sembang
Filem ini bermula dengan babak sebuah keluarga yang bahagia retak menanti belah di mana watak bapa (Steele) main kayu tiga, dirahsiakan daripada anak (Chloe) yang baru pulang dari belajar yang sangat excited nak jumpa Steele selepas sekian lama tak balik ke rumah. Puncanya, selain daripada menuntut ilmu, Chloe juga jarang balik kerana tidak dapat menerima kelakuan mak dia yang berada di luar kebiasaan perilaku manusia; pada ketika itu.

Iaitu pada ketika di mana hampir semua orang tidak lagi mempercayai Tuhan dan Steele beserta Chloe beranggapan bahawa mak dia terlalu taksub pada Bible sehingga mengganggu gugat kebahagiaan keluarga mereka.

Plot cliche; bapak cari 'makan' kat luar, mak dikatakan gila, anak memberontak.

Yang tak cliche; rupanya selama ni mak dia bukan gila. Mak dia cuma bagi warning yang the End of the Day hampir tiba dan minta keluarga dia bersedia untuk menghadapi hari tersebut.

Babak filem ini mula menarik semasa Chloe memeluk adiknya, tiba-tiba adik dia vanish. Dalam kepercayaan Kristian, rupanya antara petanda kiamat adalah semua orang baik akan diangkat ke syurga; yakni orang yang mempercayai ayat-ayat Tuhan & kanak-kanak bersih yang tidak berdosa.

Kesimpulan cerita, akhirnya mereka mempercayai apa yang dikatakan oleh mak mereka selama ini tapi dah terlambat sebab mak mereka telah pun selamat diuplift ke 'atas'. Filem ini memang emosi dan kadang-kadang berjaya buat aku rasa sedih, especially pada babak Chloe gaduh dengan mak dia dan masa Steele minta maaf pada Chloe kerana membuatkan keadaan keluarga mereka jadi kucar-kacir dari awalnya. Yang ni, aku simpulkan sendiri. Nak tahu lebih, tengok di panggung.

Serius masa tengok keadaan dalam kapal terbang tu, dan impak sewaktu pelanggaran pesawat aku rasa nervous gila. Terbayang-bayangnya je keadaan dan perasaan mangsa dalam pesawat MH370 & MH17.


Oh btw, kerja Steele ini adalah sebagai pilot yang mengemudi pesawat dari JFK ke London.

Nak tahu kenapa berlanggar? Meh nak spoil sikit.

Kan dah cakap tadi semua yang baik-baik 'vanish to the air just like that'. Pesawat yang lagi satu ni (aku namakan CP06) nak dijadikan cerita, kedua-dua pilot mereka pun lenyap justeru tiada siapa yang mengemudi CP06. Apabila hal tersebut disedari oleh Steele, dia bagi warning pada CP06 but it's too late..

Sayap kanan terkena impak pelanggaran akibatnya tangki minyak bocor [read:aku tak tahulah apa bocor] dan menyebabkan mereka kehilangan minyak dalam masa yang singkat.... Manakala CP06 tersebut meletup dan terbakar dan terhempas begitu saja.. Mayday mayday..

Aku bukan pengulas apatah lagi pengkritik filem, aku cuma nak kata filem ni worthy of a try lah. At least cerita ni tak cuba nak label Islam pengganas la, apa lah. Sebab ada babak dalam filem ni, salah seorang penumpang (aku namakan dia Ali) ditonjolkan beragama Islam [read:aku dah agak mesti ada punyalah orang Islam dalam cerita pesawat macam ni]

Ada sorang lelaki ni, cuba nak geledah beg Ali. Ali rampas beg dia balik lalu dia pun mengeluarkan sesuatu terus diacunya pada lelaki tersebut. It's turns out that benda tu rupanya berus gigi. Ali siap bagi syarahan lagi, "Kau ingat even kumpulan pengganas pun boleh cipta teknologi yang buat orang hilang macam tu je ke?"

Filem ini lebih memperkatakan tentang di mana kita letak kepercayaan kita. Filem ini adalah dakwah pada mereka yang beragama Kristian di luar sana, supaya sentiasa sedar bahawa dunia ini ada akhirnya dan kena bersedia pada hari kiamat yang bakal tiba.

You have to believe the God.

Which God, you decide it. But for every religioun, there is no eternal world. Every world be end.

Just be ready for it.

p/s : Lagi sekali diingatkan, aku bukan pengulas apatah lagi pengkritik filem. Aku penonton yang menonton dengan tiket wayang free yang diredeem oleh officemate aku.. Muahaha..

Liebster Blog Award

• Gee Lion • 10:29:00 • 28 Sembang

Pertama, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan ribuan terima kasih kepada Parih kerana sudi mengetag saya dalam Liebster Blog Awards.

Kedua, sebenarnya saya tidak faham dari siapa Award ini. Yang pasti bukan Parih, jadi ada sesiapa boleh jawab dari mana datangnya Liebster Blog Awards ni?

Sorry, saya memang selalu ketinggalan kereta api so tiket pun dah banyak burn.. [read:memang tak pernah ambil tahu pasal award awardan ni]

Jadi, setelah membuang masa sebanyak dua minit untuk baca perenggan di atas kita teruskan dengan sesi interrogation by Parih :

Orang yang paling anda sayang , rapat ?
Daddy cool

Warna kegemaran ?
Cokolat

Habbit yang ada pada diri ?
Tidur

Apa yang paling suka dan tak suka ?
Paling suka – Tidur
Tak suka - Nervous

Tempat yang tersangat ingin pergi ?
Jepun.

[tak perlu bagi sebabkan? Keh keh keh]

Pernah jumpa hantu / benda pelik2 ?
Pernah.
Nampak qarin sendiri. Ke jin, ke hantu tah.. sebiji muka macam aku..

Tidur sehari berapa jam ?
Purata 7 jam sehari, okaylah tu dari Xing Xing and Liang Liang kan…

Apa rutin harian ?
Bangun pagi – kerja – balik kerja – tidur

Boring tul.

Perkara paling buruk dalam hidup ?
Bangun pagi – kerja – balik kerja – tidur

Eh, macam sama je. Haih nak buat macam mana.. hadap ajelah.

Impian dalam hidup ?
Bangun tengahari – lepak – lepak – tidur


Memang tak sedetail Jazz Lover, tapi yang penting saya jawabkan.. Hehehe..

Rasanya saya dah boleh dieliminate dari jadi pemenang Liebster Awards ni, sebab saya malas nak tag-tag blogger lain. Tapi jangan ingat korang boleh selamat, sebab walaupun saya tak tag, kemungkinan untuk blogger lain untuk tag anda adalah tinggi sama sekali..

Untuk pengetahuan korang semua juga, ini adalah segmen kedua aku masuk selepas hampir 5 tahun berkecimpung dalam dunia blog [read:betapa malasnya diriku…]

Jadi kepada anda yang sedang membaca ni, kalau rajin; TAG LAH DIRI SENDIRI.

Sekian, terima lah gelak secara besar-besaran dari aku .. MUAHAHAHAHAHAHA..
Kbai

Gelodak

• Gee Lion • 21:00:00 • 21 Sembang
Sakit yang datang menekan-nekan, hati dia jadi makin tak seimbang. Di sebelah kanan; sentiasa cuba melegakan perasaan, meniup-niup semangat harapan dan berprasangka baik atas segala kejadian.

Di sebelah kiri; api kebencian sentiasa cuba membakar, semangat hidupnya bagai ditarik dicarik, harapan tampak kian pudar dan fikirannya mula terganggu; cuba menyalahkan segalanya, termasuk takdir atas segala yang berlaku.

Dia cuba berlagak normal, mengharapkan semua ini suatu mimpi. Tapi dia sendiri tahu, ia bukan mimpi apatah lagi fantasi. Ia realiti yang harus dihadapi sepanjang dia berada di sini.

Secara tiba-tiba, fikiran itu datang bertandang dan mengetuk-ngetuk pintu hati. Mungkin Allah telah menjawab segala doa yang dipanjatkan olehnya selama ini.


Waktu takkan pernah berhenti meskipun kau terbaring di sini. Ia akan terus berlalu, ia tak akan menunggu sesiapa pun. Baik yang miskin atau yang kaya, yang sihat ataupun sakit, yang tua mahupun yang muda. Segala yang ada di sekitarmu bergerak walaupun kau memberhentikan semua rutinmu dan langkahmu kerana hakikatnya; hari esok akan sentiasa ada..

Ada orang yang menanggung beban lebih daripada apa yang kau tanggungi, bersyukurlah kau masih punya kaki dan tangan untuk melakukan pekerjaan.

Ada orang yang mengharap agar masa kembali kepadanya seperti dulu, bersyukurlah kau masih punya waktu untuk mengatur langkah hidupmu.

Ada orang yang menyesali terhadap semua perilakunya, memohon-mohon kemaafan dari semuanya. Bersyukurlah kau masih muda. Masih punya kesempatan untuk melakukan hal yang baik-baik sebelum kau menjadi tua dengan dosa.

Memang ini sukar, terlalu sukar. Namun percayalah, akan ada hari yang dikhususkan buatmu. Waktu ini akan tertebus, segalanya akan dilunaskan.. Akan ada imbuhan di sebalik setiap kepahitan.

Lupakah engkau pada sebuah kisah indah mengenai pengorbanan yang mendatangkan ganjaran? Lupakah engkau akan sebuah cerita yang menimpa pada seorang wanita biasa yang akhirnya berkat kesabaran itu menjadikan dia seorang manusia yang luar biasa?

Jangan bersedih, Sesungguhnya Allah bersama kita!

Fahamilah

• Gee Lion • 10:00:00 • 24 Sembang
Tiada pujian untuk dirinya. Dirinya kerap disalahkan dan dibodohi hanya untuk suatu alasan yang dikira munasabah. Pasti, ketika kata hinaan itu hinggap pada hatinya, dindingnya lebur dan hancur. Namun, dibina semula kukuh bertulangkan ketabahan dan keimanan.

Apakah kiranya kudrat yang mendirikan teguh seorang wanita di dunia ini? Nampaknya, cinta itu semakin terbenam sebaliknya diganti dengan suatu pandangan yang penuh tekanan. Apakah sang lelaki itu fikir bahawa semua orang tidak merasakan beban yang dia tanggungi? Apakah dia fikir bahawa peneman hidupnya tidak merasakan yang serupa?


Merenung kembali sebab mengapa keadaan sebegitu terjadi, tidak juga akan membantu apa-apa. Kerana sebagai hambaNya, tidak akan sedar sehingga suatu kenikmatan itu ditarik semula. Bagaikan ingin menunggu saat tersebut berlabuh, namun rasionalnya hatiku sebolehnya mahu menghindarkan perkara itu daripada berlaku..

Selagi manusia tidak menyedari, bahawa yang buruk itu datangnya dari diri sendiri.
Dan kepada Dia jugalah sebaiknya tempat kembali.

Expectation

• Gee Lion • 10:39:00 • 46 Sembang


Pernah berlaku pada anda?

Analogi

• Gee Lion • 11:30:00 • 37 Sembang
Naratif kehidupan ini benar-benar menyesakkan. Realitinya adalah sesuatu yang sangat pahit sekali. Meskipun kita cuba untuk menerima kenyataan bahawa semua itu adalah lumrah, sedikit sebanyak ia mengganggu juga. Kekesalan dan kekecewaan yang cuba dilahirkan sekalipun tidak mampu menutup jejak-jejak semalam yang kelihatan suram sekali. Pernahkah berbuat satu kesalahan yang tidakkan tertebus meski zaman berginjak waktu? Analogi itu bagaikan memakan diri menjadi zarah yang merebak ibarat barah.

Benar, hargailah setiap waktu bernafas. Jangan melepaskan selagi tidak dilepaskan. Jangan mengalah selagi tidak dikalahkan. Inilah realiti hidup. Jangan berlagak lemah sebelum waktunya. Jika itu yang ditunjukkan, kalah sebelum bertarung adalah tulisan yang bakal menghantui setiap helaian diari yang ditulis dan akan dibaca kemudian hari.


Kebahagiaan?

Kebahagian itu bagaikan tertutup sendiri dengan kepura-puraan yang berterusan. Pernahkan jujur walau sesaat? Kesakitan yang menghimpit hati dan perasaan hanya meluahkan titisan air mata bukanlah senyuman meski cuba diukirkan. Terasa hipokrit. Bersedih atas sesuatu yang perlu dirai dan tersenyum atas perkara yang perlu ditangisi. Atau benar, itulah yang seharusnya? Itulah lumrah? Itukah yang cuba dituturkan dan cuba difahami manusia di dunia ini?

Perasaan.. itulah satu lagi metafora yang pelik sekali dalam hidup ini. Hari ini kita bergembira, esok lusa tiba-tiba mendung itu tiba merampas kegembiraan. Hari ini, kita membenci, esok lusa perasaan rindu datang menerpa. Saat itu, baru kita sedari.. sesuatu terasa dalam hati. Hari ini, mungkin kita bertekad mahu meninggalkan, esok lusa perasaan datang menagih simpati. Ingatankan pasti terus bersemadi, tiba perasaan bersalah itu wujud mengambil tempat di hati yang sesal. Sudut istimewa tercipta, dan perasaan terus terbuai... nikmati rasa yang telah terbelah. Canda, tangis, ketawa dan duka...

Bebas

• Gee Lion • 20:30:00 • 14 Sembang
Dia terasa ingin bebas.
Terbang melayang tanpa ada sesiapa yang mendongak ke langit untuk mencari kelibatnya.
Walau bagaimana sulit keadaan sekalipun, dia ingin merasai semua itu.
Terlalu lama minda dan fikirannya dibelenggu.
Terlalu lama dia hidup untuk menjaga hati dan perasaan orang lain.
Terlalu ramai yang melihat dia seolah melarikan diri, sedang kenyataannya tersimpul rapi.
Terlalu lama berdiam diri, mendengar cereka buatan mereka, hingga dia terlupa paksi tempat dia berdiri.


Kiranya setiap kesenyapan itu ada nilainya, dia akan memilih untuk setia berdiri di sini. Namun, kesepian itu dibanding-bandingkan, sehingga dia kira, kebebasan adalah penawar kepada segala-galanya. Bagaimana harus ditebus sebuah kebebasan andai harganya bukanlah suatu permainan?

Dia menanti ceritera drama itu selesai sehingga ke penghabisan, namun apa yang dia dapati hanyalah sebuah harapan menyerupai debu ditiup angin nan bayu. Suci, menyegarkan namun dikotorkan oleh mulut-mulut manusia. Manusia yang terlupa pada rumput mereka berpijak, terlalu lama pula mendongak ke langit, lupa suatu hari nanti, ke perut bumi juga mereka kembali..

Wordless Wednesday # 8

• Gee Lion • 08:30:00 • 14 Sembang

Updated on 10/10/2014 @ 10.15 pm :

Lokasi : Solaris Dutamas
Tujuan : Saja-saja je eh.. Masa sampai sini, rasa macam woooowwww.. cool... Tapi banyak yang main anak-anak mat Salleh je..

Sayang yang mahal

• Gee Lion • 11:58:00 • 24 Sembang
Jodoh.. bukan kita yang aturkan. Hari ini, kita kata sayang pada yang bukan halal esok lusa kita berkahwin dengan orang lain, kemudian kita kata sayang pada orang yang telah halal itu yang kini bergelar suami kita, maka apa bezanya dia dengan yang sebelumnya? Mengucapkan kata sayang pada orang sembarangan, begitu murah kata sayang itu diperdagangkan. Tidakkah ingin, rasa sayang itu diluahkan pada orang yang tepat, orang yang lebih berhak dan halal merasai sayang dalam erti kata yang sebenar?


Simpan kata sayang itu untuk orang yang lebih berhak. Bukan bermakna kita tidak menyayangi teman lelaki di samping kita sekarang. Kata orang, walaupun kita tak meluahkan namun jika rasa sayang itu begitu kuat , maka dengan sendiri kita akan dapat merasai rasa yang ada dalam hati.

Mr.Teksi 1

• Gee Lion • 13:32:00 • 30 Sembang
Panggilan haji... Telah tiba lagi..

Khamis, HBA 4*42

Hari Ahad ni hari raya ka? Itu raya besar ka?

Yup, raya haji. Biasa je, tak lah sebesar sambutan hari raya puasa.

Apa itu?

Hari raya aidiladha ni untuk menyambut musim haji dah tiba. Umat Islam ke Mekah untuk buat ibadah.

Ada apa kat sana?

Itu kaabah ada. Kiblat orang Islam. Memang satu dunia, kalau sembahyang memang ngadap situ. Pastu adalah beberapa benda yang dorang buat kat sana. Macam lawat makam nabi, melontar batu ke..

Itu Nabi memang ada kat Arab ke? You oll memang kena pergi sana ke? Wajib ke?

Nabi ramai, tapi yang wajib tahu beberapa kerat je. Yang ni 'special'. Taklah semua pergi, mana yang mampu saja. Kalau tak mampu, tak pergi pun takpe.

Ohh... hari tu, saya pon ada pergi itu makam. Kat Port Dickson. Pergi sana, memang banyak lucky. Hari tu saya ada court case, balik dari sana semua settle. Adik saya nak jawab exam, pergi sana exam bagus. Banyak A.

Makam sapa tu? Kat mana?

Aiyo, saya sudah lupa nama. Sultan Aziz Shah ka? Sekarang itu tempat kerajaan ambil buat muzium. Tapi kalau nak masuk boleh je. Memang ramai Indian pergi sana. Tiap-tiap tahun penuh je itu tempat.

Errmmm.. Oh macam itu ke? I see..


Raya haji ada buat itu korban kan? Apa you oll buat sama itu daging?

Daging tu untuk diagihkan kepada orang-orang miskin.

Saya pun pernah sedekah daging. Itu orang tempat saya selalu buat korban daging bila raya haji. Everytime buat macam hidup pun jadi senang, banyak dapat job.

Sebenarnya uncle, bila tiba musim haji, memang akan ada upacara korban. Simbolik kepada peristiwa ketika Nabi Ibrahim diperintahkan untuk mengorbankan anaknya, Nabi Ismail. Tapi disebabkan keikhlasan yg ditunjukkan oleh Nabi Ibrahim & Nabi Ismail, maka Allah gantikan dengan kambing kibas. Maka di situlah bermulanya upacara korban ini dan menandakan yang musim haji telah tiba.

Perbualan itu terhenti di situ. Aku hanya mampu menerangkan dalam bahasa ringkas yang termampu dihadam oleh seorang non-muslim seperti dia. Kelihatan pemandu teksi itu termenung, berfikir dalam dunianya sendiri..

Selamat hari Raya AidilAdha. Kita doakan mereka yang pergi menunaikan haji dapat melaksanakannya dengan jayanya.. =)

wordless wednesday # 7

• Gee Lion • 09:00:00 • 18 Sembang