Dimensi

Ada sebab kenapa dia tidak mahu kembali di sini. Di sini di dunia yang terpencil ini, antara kisah silam dan kenangan yang harus dia lemparkan jauh-jauh. Dalam ruang dimensi yang berbeza-beza, dia hanya mampu memerhati dan merasai diri di dalamnya. Sedang dia tak mampu berbuat apa-apa.

Saban hari, jiwa seseorang itu semakin akan mengenali apa itu fitrah dan lumrah kehidupan. Suatu hari di mana masa akan menggadaikan segalanya, adakah mereka akan mampu memahami bahawa apa yang berlaku bukan salah kain putih yang dibiar terumbang-ambing? Adakah mereka mampu memahami bahawa setiap kata-kata itu adalah hasil peniruan dan pemerhatian terhadap apa yang telah dikatakan oleh diri mereka sendiri?


Kasih tidak harus dipilih. Melainkan dalam diri engkau sendiri telah jatuh sayang lebih pada insan yang kau anggap sebagai malaikat, maka semua yang lain kau pandang sebelah mata. Dia tahu di bahagiannya sendiri banyak kekhilafan, namun perlukah kau menjadi berat sebelah pada anak kecil yang tidak berdosa?

Dan dimensi lama yang pernah terlaung suara dia pertama kali di dunia ini, dipandang sepi. Sesepi perasaan kosongnya waktu ini..

Cerita

Selama ini hidupnya ceria dan penuh ketawa. Sudah separuh abad semenjak kelahirannya ke dunia ini. Diharunginya serba pantas dan penuh keyakinan. Dia bahagia dengan caranya. Padanya, hidup ini suatu keindahan, tiada cacat dan celanya.

Sehinggalah berita itu menimpa padanya. Terkesima, dan terpegun dia cuba menerima kenyataan cerita yang dibawa padanya. Mudah saja, mengapa mama dan papa tidak berterus-terang lebih awal? Mengapa sehingga ke saat ini baru ingin meriwayatkannya? Mengapa sekarang? Bukankah lebih bagus jika cerita itu diperapkan sahaja? Bukankah lebih bagus cerita itu dipendamkan saja? Apa gunanya berterus-terang jika kesakitan pada akhirnya yang harus dia terima?

Kerana ini kebenaran sayang, dan dia perlu tahu susur galur sejarah asal-usulnya justeru walaupun pahit bagai hempedu, semua ini harus ditelan hidup-hidup.


Borang dan sijil sudah dapat dijejaki. Sungguh dia tidak menyangka, di negara sejuk bersalju di mana dia dibesarkan bukan di situ asalnya dia. Bahkan agama yang dikenalinya selama ini yang cukup memusuhi Islam juga bukan agamanya. Bahkan agama tauhid itu jugalah agama asal ayah dan ibu kandungnya.

Mengapa? Begitu kusutkah keadaanmu ayah dan ibu sehingga sanggup menyerahkan aku pada tangan yang membunuh saudara-maramu? Begitu busukkah aku sehingga tidak layak mendapat pembelaan sewajarnya? Bahkan wajah ibu itu murung, dia enggan membuka pintu sebaik diaju soalan yang satu itu. Kata ibu, dunia kita tidak lagi ada kena mengena. Apa yang berlaku cukuplah menjadi sejarah yang terpatri padu.

Dia mula berkira-kira apa dan siapa sebenarnya punca dan bagaimana akhir cerita.
Apakah mama dan papa yang berbakti membelanya?
Yang memungkinkan untuk dia harus melupakan siapa dirinya yang sebenar?
Atau dia harus mencari lagi kebenaran, asal-usul, agama dan susur galur keluarganya di Malaysia sedang ayah dan ibu itu sudah tiada untuknya mengenali siapa mereka?


Inspired by : One of my friend's story.

Tonton32

Petang Isnin yang sedikit membosankan, mata ni jadi gatal nak tengok movie Atlantis: The Lost Empire. Maka, daku pun menaip seperti biasa watch32.com.





And my face was like..



WTH?
Kenapa laman ini dalam banyak-banyak laman lain yang menyalahi undang-undang itu harus dikorbankan? Bukannya ada movie Melayu a.k.a Malaysia pon dalam laman ini?

Mengapa? Mengapa? Mengapa?!!!! Arghhh!!!



Redha ajelah.. Huhuhuhu...

Ungu

Dan bila cahaya keunguan itu menyerlah di sebalik tingginya dinding taman rahsia, bintang-bintang itu mula berkerlipan di waktu malam dingin yang penuh dengan kenangan. Kau merenungku, menyebut namaku. Entah kenapa, aku terasa namaku selamat dalam gerak bibirmu.


Di malam itu juga, sekali lagi aku merangkul engkau penuh mesra. Walaupun kau telah pergi namun cintamu terus hidup dalam suluhan cahaya yang kentara. Selagi jantungku berdenyut, kekasihku, kita akan selalu bertemu di sini, di dalam mimpi cahaya keunguan ini...

Ucapkan


Kasihku,
Aku pernah berjanji dirimu takkan aku lukai.
Demi melindungimu, aku harus melakukan semua ini.
Sungguh, tiada cara lain lagi.

Kasihku,
Cinta kita sendiri membawa kedukaan yang perit.
Sudah tidak daya lagi aku menjerit.

Katakanlah selamat tinggal padaku.
Aku bersedia melepaskan tangan yang selama ini mengelusku.
Sekiranya melupakan aku bakal memberi kebebasan padamu sayang;
Ucapkanlah selamat tinggal padaku..

Kasihku,
Kau tahu bila senyumanmu mula membeku,
Aku hanya mampu menyalahkan diriku.
Bukan hanya kata-kata bahkan jua cahaya,
Aku hilang segala-galanya.

Kasihku,
Pada saat cinta kita bersatu,
Aku tahu; aku takkan pernah lagi bertemu sesiapa yang lebih sempurna darimu..

Katakanlah selamat tinggal padaku.
Aku bersedia melepaskan tangan yang selama ini membelaiku.
Berada di sampingku menjadi pedampingku,
Bukanlah sesuatu yang baik sayangku;
Ucapkanlah selamat tinggal padaku..

Maafkanku meranapkan impian
Aku tak mampu hanya membiarkan
Aku tak sanggup melihat kau serba kekurangan
Sedang kau berhak dan layak bersama kesenangan
Kau kekasih yang menjadi dambaan
Aku tahu semua ini melukakan
Aku merasai kesakitan yang menular ke segenap tubuh badan
Semua ini mengambil sebahagian dari diriku untuk melepaskan kau pergi
Sungguh, aku tak menyangka ia akan berakhir begini..

Suaramu yang perlahan pudar dan menyirna.
Kini hilang dibawa sang pawana.
Rasa ini tidak bisa aku tanggungi.
Untuk diriku, usah kau tangisi.
Untuk dirimu, aku takkan berpaling lagi..


Selamat tinggal yang paling menyakitkan adalah yang tidak dapat diluahkan juga tidak dapat dijelaskan.


Inspired by : Tell me Goodbye by Big Bang

Drama

Dia kata nak jumpa aku.
Dia minta pulangkan semua barang-barang dia.
Aku tak kisah langsung pasal barang dia tu.
Aku pon taknak simpan lama-lama.
Untuk apa?

Cuma, aku taknak keluar waktu petang.
Aku dah belajar dari kesilapan dulu.
Petang akan berganjak kepada malam.
Aku tahu helah dia. Aku tahu semua itu.

Dah hampir setahun semenjak drama tu berlaku.
Aku dah dapat melupakan semuanya.
Aku terima semua kesalahan yang dia letak kat bahu aku.
Aku sedar, aku wanita yang ada harga.
Bukan sebarangan boleh dibida.

Bukan macam dia.
Hanya tahu berpura-pura.
Sungguh dia pak Ustaz yang bermuka-muka.
Menggunakan modal agama untuk membuat durjana.

Kali pertama aku mengenalimu
Mahu bersama mahu bersama
Raut wajahmu bersih
Meyakinkan hati ini
Aku terpaut

Semua dusta palsu
Aku tertipu
Keperibadianmu
Berubah menurut nafsu
Panggilanmu gelaranmu
Baru ku tahu

Lakon layarmu hebat.
Terpukau ku melihat.
Isi hati murahan.
Sampai bila kau mahu tersesat.
Tidak kau penat.
Hidup penuh muslihat.
Mahkotamu Raja Drama !!



Penipuan bukan kesilapan, ia pilihan.
Kau tak hanya menipu aku, kau menipu kita.
Kau bukan hanya meranapkan hati aku, kau menghancurkan masa depan kita.
You said "I love You".
And I said it too.
The only difference is, I didn't lie to you.

Drama tak perlu wujud dalam hubungan yang matang.
Sebab drama boleh buat hubungan jadi tunggang-langgang.
Kau ingin menang sikit pon aku tak ciut.
Sebab pada aku, sifat itu hanya ada pada sang lelaki yang pengecut!

Blog

Usia belog ni sudah hampir masuk sebulan. Dan sempena sebulan kelahirannya dalam dunia blogger, aku rasa macam terseru untuk berkongsi dengan korang cerita di sebalik penubuhan diaridandelion ni.

Untuk pengetahuan korang, ini bukan belog pertama aku. Ini adalah belog ke-enam. Iya, diulangi ke-ENAM. Aku mula berjinak-jinak dengan dunia belog sejak dari tahun pertama aku di universiti. Masa tu, tahun 2009. Daripada zaman tok gajah aku dah menyaksikan jatuh bangun seseorang blogger [termasuklah aku sekali] sehinggalah daripada bujang sampailah blogger tu dah kahwin.

Aku je belum kahwin - kahwin lagi -.-'


Bila followers dah mencanak-canak naik dengan pageviews mencecah beriban setiap hari, aku delete belog tu. Iya, diulangi DELETE. Sebabnya, aku tak sangka. Ada seseorang yang menyetalker aku di sana. Aku tak marah tak juga aku naik angin. Aku tahu di alam maya, walau macam mana kau lari dan kau menyorok, jejak kau tetap orang dapat traces. Jadi aku tak hairan kalau seseorang tu, akan dapat menjejak aku semula, suatu hari nanti.

ShesGee, DumbWriter dan Persis Dandelion adalah antara percisan blog aku yang telah pun aku kuburkan.

Tapi ketagihan aku dalam menulis tak dapat dibendung walau oleh sebuah laptop yang bila-bila masa saja akan terbakar. Makanya aku menulis lagi dalam blog picisan ni, kebanyakan entri aku tak publish. Apa yang korang baca sebenarnya itu yang dah aku pilih untuk dipublikkan.

Jadi adakah aku telah menjawab persoalan wahai +Akeyla Azmi?

Adios homeza. Ya ee maka ci na wakasalu ot deh!

SMS : Salam Hari Jumaat. Hari ini busy berjimba-jimba. Aku akan cuba BW dan membalas komen korang semua ye.. Tata.. =3

Orbit

Laluan hidup kita sudah diatur sejak azali. Mungkin semalam laluan kita bertembung membuatkan kita hadir dalam hidup masing-masing. Kita dapat sesama mewarnai atau mungkin sama berkelahi. Namun selagi laluan kita bertembung dan saling menyeberangi, selama itulah kita tak dapat nak melarikan diri. Walau ke kutub manapun kau cuba menyendiri.

Dan hari ini, Tuhan dah mula jarakkan kita. Laluan hidup kita dah mula menunjukkan arah yang berbeza. Aku ke kiri dan kau ke kanan. Tanpa sedar, laluan kita kini dah tak sama. Secara tiba-tiba, jalan itu ada pusingannya. Kita tak dapat nak elak, tak juga dapat teruskan. Kerana di depan apa yang ada hanyalah securam gaungan. Mahu atau tidak, kita harus kekal memandu di landasan dan mengikutnya ke mana saja ia bawa kita pergi.


Namun percayalah, di sepanjang laluan baru itu kita akan berjumpa perkara lain yang akan mengambil giliran meronai hidup kita. Percayalah, hidup ini takkan terhenti. Kita yang memilih untuk teruskan atau hanya terus berpijak di landas masa yang sama. Kita bukan lagi macam semalam. Bumi berputar pada paksinya, setiap yang wujud di dunia ini beredar dalam orbitnya sendiri.

Jalan kita mungkin akan bertemu kembali, suatu masa nanti. Namun sehingga masa itu tiba, hargailah apa yang telah sedia ada. Kata Hamka: "Yang ada ini sudah harapan kita.." Kerana mungkin saja, apa yang telah kita ada sebenarnya lebih bermakna tanpa kita sendiri menyedarinya.

Tropika

Laluan tropika itu dia lalui, sekian lama tanpa sesiapa jua di sisi. Aromanya damai dan menenangkan, wangi menusuk ke hati. Di sini, di suatu masa dulu yang pernah menciptakan memori. Tapi dia tak jemu, laluan tropika itu tetap dia lalui saban hari..

Tanpa segan silu, embun menitis mencium tapak tangannya kala ditadah untuk meratah kelembapan malam. Dia menghirup nafas; segar.. Angin sejuk membelai tulangnya. Langkahnya terhenti seketika..

Dia merenung jauh ke dalam kegelapan laut yang bergelora. Kosong.. Redup matanya seredup hawa di jiwanya. Telinganya menangkap rumor lagu cinta yang menyanyi, dibawa bersama sang angin laut yang menyapa. Bukan sekadar lagu biasa, lagu itu memuji Kekasih Tuhannya. Dalam diam, matanya membentuk sekawah mutiara. Dia tertunduk bersahaja. Kalbunya tersentuh, dia mengira-ngira dosa dan pahala.


Di laluan tropika yang dingin itu, buat seketika dia terasa hangatnya saat mutiara gugur di pipi. Di laluan tropika yang diam itu, dia terasa kerdilnya diri. Di laluan tropika yang berpagar itu, dia terasa keseorangan bertemankan memori yang silih berganti.

Siapa kata apa yang berlaku tidak disesali?
Siapa kata apa yang berlalu tidak dihargai?

Dia mengesat perlahan jernih mutiara yang mengaliri. Geraknya perlahan sekali. Dia meneruskan langkah yang terhenti sambil angin laut terus menyanyi..


Salam Maulidur Rasul. Marilah sama-sama kita mengingati perjuangan Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW dalam menegakkan syiar Islam. Semoga kita semua tergolong dalam golongan umat Nabi Muhammad SAW yang mendapat syafaat daripada Baginda. AMIN. - Gee Lion

Penyakit

Hati ini macam ada penyakit yang menyengat setiap masa. Digenggam kuat takut ia mati. Dibiar lepas takut ia berdenyut laju membunuh diri. Sakitnya, hanya dia saja yang tahu. Tiap kali kata hati itu datang dan mengetuk, ia bertambah sakit. Tiap kali itu jugalah dia berbaringan di situ, mengikat-ngikat tangan pada tubuh yang rapuh.

Arghhh bisakah punya penawar pada penyakit yang menyerang? Dirinya seakan jiwa yang menunggu masa dibawa pergi. Dan jika benar masa itu telah tiba, pasti segala bayangan pembawaan itu bakal disesali dan ditangisi.


Kata hati itu tidak diundang juga dia langsung tidak memaksa kata hati itu datang bertandang. Dia tidak pernah mengizinkan bahkan dia langsung tidak ingin memikirkan tentangnya.

Pergilah wahai penyakit. Sungguh kewujudanmu langsung tidak diperlukan oleh dia.

Terhumban


Tertusuk duri dalam hati
Itu yang kau tinggalkan
Setelah jauh berjalan jatuh
Akhirnya aku yang tersungkur

Sesuatu yang didatangkan
Tak pernah berkekalan
Rasakan diri bagai bermimpi
Tersedar pagi hari
Engkau telah pergi


Siang makin tua, malam makin hiba
Surat-surat cinta kuulang membaca
Selendang putihmu dalam genggamanku
Lambang kesucian cinta yang terhumban

Bara yang kugenggam di tangan
Perit makan di dalam
Yang dikatakan kemanusiaan
Terhapus oleh kebendaan

Mengapa ada pertemuan
Jalinan kemesraan
Di saat aku mengharapkan mu
Sanggup kau memutuskan sebuah ikatan


Lagu : Kenny Tay
Lirik : Habsah Hassan
Tajuk : Tanya pak cik Google.

Bicara

Pada dia, berbicara itu sesuatu yang menggetarkan. Dia khuatir terlanjur kata justeru dialah yang harus menanggung akibatnya. Dan akibat bukanlah suatu harga yang murah. Silap hari bulan, dia terpaksa gadaikan semua yang ada padanya hari ini.

Tapi kata si tua jangan biar suatu apa pun merenggut kegirangannya. Apa saja yang dia ingin buat harus dia lakukan. Apa saja yang dia fikirkan harus dia luahkan. Dan seandainya perkara itu memerlukan dia berlaku jujur, maka harus dia tulus di situ. Jangan diam membatukan diri.


Dia sama sekali tidak ingin berkesudahan seperti tuma. Dikain putih ia putih, dikain hitam ia hitam. Keikhlasan dalam jiwanya tak perlu dipertikaikan lagi. Namun ibarat suci dalam debu, masih berbekas sehingga yang elok dipandang sepi yang buruk dipandang tinggi. Sudahnya tuma menjadi kasa. Kasa nun terletak di atas duri.

Kekeliruan diri masih menghantui. Dia memejamkan mata sementara waktu, mengharap moga jawapan bertamu. Sehinggalah akhirnya, dia nampak akan lambaian seseorang di situ, tersenyum, bibit-bibit kemesraan terus terbayang dalam ingatan yang beku.

Rahsia

Ada sebab kenapa ada cerita dipanggil sebagai kisah silam. Ada sebab kenapa ada cerita dipanggil sebagai kenangan. Setiap sebab, orang tak perlu tahu kenapa kerana itu terpulang pada kau untuk merahsiakannya.

Orang tak dapat paksa kau untuk buat pilihan. Dan orang juga tidak ada hak nak mengatakan pilihan kau salah. Tapi kau juga tak boleh fikir yang pilihan kau itu betul. Ironinya, tiada siapa tahu apa yang batil dan apa yang adil.


Kenangan, kalau orang tanya kau boleh cerita beribu kali.

Tapi kisah silam, kau bawa sampai ke mati. Ia adalah sebahagian daripada kau dan patut dibawa bersemadi bersama. Kau patut arif dengan makna silam. Silam adalah seangkatan dengan sisa-sisa semalam, perkara yang dah lepas yang takkan boleh diperbaharui lagi. Apa yang tinggal cuma pengajaran untuk kau jadikan hari ini sebagai kenangan.

Kalau mereka hadir dalam hidup kau sekarang, maka mereka tiada kena mengena dengan yang lepas. Dan mereka perlu terima kau, untuk siapa kau hari ini. Kalau tidak, mereka tidak ikhlas. Biarkan mereka pergi. Kau tak kisahkan? Untuk menyendiri lagi?

Dosa

Dia dan dosa rasanya seakan sudah sebati. Perlukah diteruskan niat andai sudah tahu bahawa semua itu adalah angkara yg membawa dia kecundang sekali lagi?

Dia dirantai dan dipaksa membuat pilihan. Ia bagaikan perjanjian yang telah tertulis semenjak dia menghirup udara segar sebagai seorang insan. Di kanannya adalah kejahatan dan kirinya adalah keburukan. Dia harus mendongak ke hadapan untuk mencari pertolongan, namun hanya di belakang tahu perihal yang sebenarnya. Haruskah dia melunturkan kekerasan dan berpaling pada Cinta yang paling setia?


Dia rasa dia masih belum mencuba yang terbaik. Seumur hidup dia, inilah hal yang paling teruk pernah menghuni dalam hatinya.. Ini semua penipuan, ini semua permainan. Sesungguhnya si iblis itu takkan duduk senang selagi tidak melihat dia terperusuk kembali.

Akan tetapi sekiranya dia sudah tahu, kenapa dia masih gagal melawan keinginan nafsu ini? Kenapa harus tunduk kepada bisikan si iblis yang bermuka-muka? Kenapa harus memberi mereka peluang membekam emosi dalam akal yang lemah itu? Kenapa tidak memohon pertolongan dari yang Satu?

Dia dah dosa itu sudah sebati. Ibarat kuku dan jari, sukar dipisahkan lagi.

Kopiccino

Menghidu kopiccino di dalam train, sambil ditemani sang buku setia dan pandangan saujana yang memukau, stress itu hilang buat seketika. Kopiccino itu ada banyak rahsianya. Hangat, larut dalam rasa dan hirupan yang menyegarkan ingatan.

Waktu begini, waktu hujan mengundang luyutan di pangkal mata namun dia tetap bugar. Kelihatan di garisan pipinya senyuman yang menguntum disulami gelengan kepala keseorangan. Memikirkan apa yang telah dia lalui selama lebih enam bulan di tempat baru. Suka dan duka itu mencanting fikirannya.

You never know how strong you are until being strong is the only choice you have. Ungkapan keramat Cayla Mills itu menari-nari dalam ruangan matanya.


Dia tahu dia hamba yang bertuah. Ujian itu datang kerana Allah merindukan keluh kesahnya. Dia tahu dialah hamba yang menagih perhatian dariNya. Kadang dia jatuh kadang dia merundum, sekurangnya dia tidak berpaling, tidak pula terlalu selesa.

Hirupan kopiccino mengena pada bibirnya yang kembali mekar dengan senyuman. Sang buku masih setia. Saujana menghijau masih memukau..

Twist

Andai kau buang s pada blogspot kau akan dapati yang kau didirect ke satu link yang lain. Cubalah menggunakan URL blog siapa sahaja termasuk kau sendiri, ke situ juga perginya kau nanti.

Agenda seperti ini bukan penyakit. Ia adalah perjuangan bagi setiap agama yang wujud di muka bumi ini. Hatta, barang siapa yang lebih menguasai teknologi bahkan menciptanya, mempunyai peluang dominasi yang lebih. Termasuklah dengan hanya mentwist blogspot hanya kepada blogpot.

Sukar untuk percaya fenomena ini berlaku di Malaysia. Tiada kengkangan tiada halangan. Semuanya dilakukan atas nama demokrasi dan kebebasan agama.


Tapi hati kau wahai para Islam. Mana kau letak hati kau? Kau masih bergaduh tentang bangsa, kau masih bergaduh tentang kasta bahasa. Kau masih bergaduh tentang peri penting budayamu, kau masih bergaduh tentang peri penting asal usulmu. Kau lupa, agama kau campak ke mana? Tidak mahukah kali ini kau menuntut atau membuat dakwaan baru, bahawa kami juga mencuri agama darimu?

Bahkan pada masa itu mereka lebih ramai tetapi tidak berguna, tidak bererti dan tidak menakutkan musuh. Mereka adalah ibarat buih di laut. - Muhammad SAW

Dandelion

Kisah si dandelion..

Yang gagah memandang ke langit. Yang kuat untuk terus tumbuh melata di mana-mana saja. Yang tabah untuk terus hidup meski di bawah payungan pohon lainnya. Dandelion.. yang hidupnya banyak sekali berterima kasih pada orang lain. Mudah sekali memohon maaf. Mungkin kerana ia tahu, riwayatnya tak lama di muka bumi ini. Sekali ditiup sang angin bayu, maka ia akan pergi, membawa diri.

Kisah si dandelion..

Setiap surai dandelion adalah ribuan harapan yang tidak terzahirkan. Dandelion setia menunjuk caranya, harapan bisa dicambah apabila ia keluar dari zon selesa. Ia harus meninggalkan dunia keleluasaan dan mengikut angin perubahan. Setiap surai itu akan punya kisah sendiri. Ada yang akan terbang jauh, melewati saujana yang luas lalu mendarat dan melahirkan jiwa baru. Ada yang terbawa mengaliri sungai bahkan ada yang terbang hingga melintasi dunia, jatuh di tempat asing yang langsung tidak pernah dikenali olehnya. Ke mana pon ia pergi, ia tetap akan bercambah dan terus hidup, hanya untuk meneruskan legasi sang dandelion.


Kisah si dandelion..

Yang tidak seindah lili, tidak seharum mawar dan tidak secantik cempaka namun tekad dan berani. Hidupnya cuma sementara di tanah asing tempat ia bermusafir. Tiba angin membelai lembut, si bunga itu akan melayang ke langit senja yang cukup indah berlukiskan tinta berwarna jingga. Bunga yang menarik dan penuh pengharapan namun amat rapuh.

Sangat merendah hati, mudah sekali memudarkan peribadi dan akhirnya menghilangkan diri.

Kisah si dandelion..

Yang cukup redha akan kejadian ciptaannya. Taatnya hanya pada Yang Esa justeru itu ia rela diterbangkan ke mana jua. Kerana ia dandelion, ia punya kekuatan namun ia juga punya kelemahan. Ia tampak sempurna namun sebenarnya, tidak juga. Padanya, hanya Allah SWT pemilik segala kesempurnaan di alam yang fana.

Kisah di sebalik Dandelion. Masih banyak misteri yang belum diketahui.
- GEE dandeLION